Isnin, 16 Februari 2009
KURSUS PENGURUSAN JENAZAH ANJURAN WANITA USIA
KOTA KINABALU: Umat Islam di negeri ini digesa tampil mengikuti kursus mempelajari cara mengurus jenazah dengan betul bagi melahirkan lebih ramai umat Islam yang mahir dalam bidang itu.
Ketua Wanita Pertubuhan Islam Seluruh Sabah (USIA), Datin Seri Panglima Hajah Norsuadah Basah berkata, masyarakat hari ini sanggup menuntut pelbagai ilmu hingga ke luar negara tetapi masih takut dan sangsi untuk mempelajari cara-cara menguruskan jenazah yang diadakan di masjid berhampiran.
''Kefahaman tentang kewajipan orang yang hidup menyelesaikan masalah mereka yang telah meninggal dunia adalah sangat penting.
''Jika penduduk tidak ada ilmu mengenai pengurusan jenazah, ia tentu menimbulkan masalah jika berlaku kematian di kampung mereka," katanya pada majlis penutupan kursus itu di Bilik Mesyuarat ibu Pejabat USIA di sini, baru baru ini
Hadir sama di Majlis tersebut Timbalan Ketua Wanita (USIA) Datin Halijah Haji Nasip dan Setiausaha Wanita (USIA) Hajah Raini Ghani
Seramai 35 peserta mengikuti kursus yang dikendalikan oleh Ustazah Elfi Hanum Serigar.
Norsuadah berkata, langkah menganjurkan kursus seperti itu dapat melahirkan lebih ramai umat Islam terutama golongan wanita yang berupaya menguruskan kematian seseorang individu dengan sempurna.
Justeru, katanya, pihaknya akan meluaskan program-program itu seluruh cawangan USIA di negeri ini agar kefahaman masyarakat Islam terhadap pengurusan jenazah dapat dipertingkatkan khususnya di kalangan generasi muda.
Beliau menambah, kemahiran itu juga adalah sebagai persediaan menunaikan tanggungjawab fardu kifayah apabila berlaku kematian di kawasan masing-masing.
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan